Oleh Ibrahim Yahaya
(Sinar Harian / Rbu /4.2.09)
Kejadian penutupan Kelas Tabika Perpaduan Kemas di Pulau Pinang oleh parti politik di negeri itu seperti yang dilaporkan oleh media Isnin lalu amat menjengkelkan. Tambahan pula “mangsa” tindakan tidak masuk akal itu adalah anak-anak kecil yang tidak tahu menahu mengenai pertembungan politik.
Apa yang mereka inginkan ialah mendapat pelajaran yang baik. Apa yang mereka dahagakan ialah ilmu dunia akhirat sejajar dengan nasihat ibu bapa agar menjadi orang pandai dan berguna kepada negara. Bukan menjadi sampah masyarakat.
Penutupan Tabika Perpaduan Kemas Taman Nelayan Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, menyebabkan kanak-kanak yang menjadi mangsa perbuatan berkepentingan berkenaan terpaksa belajar di bawah pokok dengan beralaskan tikar.
Bayangkan keadaan tidak selesa untuk mendapat ilmu. Sunguh menyedihkan apabila memikirkan tahap pemikiran sesetengah ahli politik negara ini. Terlalu rendah, tidak matang serta tidak layak untuk menjadi pemimpin negara ini.
Penutupan itu dikatakan adalah perbuatan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Negeri (JKKKN) bertindak mengunci pintu pagar tadika. Mengapa mengunci pintu pagar? Tindakan kali ketiga JKKKN itu dipercayai bermotifkan politik dengan alasan kerajaan Pakatan Rakyat mempunyai kuasa terhadap bangunan tabika itu. Kuasa yang ada itu perlu digunakan dengan sebaik-baiknya bukan menindas rakyat.
Penyelia Kanan Kemas Balik Pulau, Rozhan Che Din, dilaporkan oleh berita RTM pada Isnin lalu sebagai berkata JKKKN menghantar notis kepada pengurusan tabika sebanyak dua kali untuk mengosongkan desa itu pada 31 Januari lalu. Mengapa perlu dikosongkan?
Notis itu dihantar melalui JKKK Kuala Sungai Pinang dan kedua-dua notis itu diabaikan.
Bangunan itu menempatkan Tabika Kemas yang beroperasi sejak 2003 dan pusat aktiviti penduduk sebelum ini pernah dikunci dua kali dan dibuka semula atas nasihat polis.
Menurut Rozhan, JKKK Kuala Sungai Pinang tidak berhak mengambil tindakan itu kerana terdapat arahan dari Pegawai Daerah Balik Pulau melalui pejabat Ketua Menteri supaya Tabika Kemas di negeri itu tidak boleh diganggu.
Ini yang menimbulkan seribu satu soalan dengan tindakan pihak tertentu dalam Pakatan Rakyat yang seolah-olah mahu membalas dendam dengan parti politik tertentu. Jika ini terus berlaku, sudah tentu tidak akan berkesudahan dan merugikan negara.
Tindakan penutupan tabika itu menyebabkan guru dan ibu bapa amat marah dengan tindakan berkenaan. Ada bapa yang sebak dengan tindakan tidak berperikemanusian itu terutama perbuatan menutup tabika menggunakan rantai basikal. Mengapa begini?
Ada yang menyifatkan tindakan itu terlalu kejam dan tidak seharusnya dilakukan oleh pemimpin politik yang seharusnya bijak untuk membezakan antara perjuangan politik dan keperluan rakyat. Kanak-kanak terlalu kecil untuk dijadikan mangsa politik.
Bagi guru, Farina Mohd Jaafar, pendidikan untuk kanak-kanak tidak perlu dipolitikkan kerana mereka terlalu kecil untuk mengetahui parti politik. Kanak-kanak yang dahagakan ilmu perlu diberikan peluang untuk belajar dalam keadaan yang tenang dan selesa.
Pemimpin politik tidak seharusnya mempolitikkan semua isu terutama yang membabitkan kepentingan negara. Mereka juga perlu memikirkan perbuatan yang mengganggu usaha memberikan pendidikan kepada kanak-kanak lagi.
Menurut Farina, ketika menerima pelajar di tabika berkenaan, beliau tidak pernah bertanya sama ada ibu bapa mereka ahli parti UMNO atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau apa parti sekalipun. Yang penting, mereka mahu belajar dan ada kesungguhan.
Apa yang beliau mahu ialah kanak-kanak di situ mendapat pendidikan yang sempurna bagi menjadi manusia yang berguna. Bukan manusia tidak berperikemanusiaan dan kejam hingga sanggup mempolitikkan pendidikan kanak-kanak.
Sebenarnya, kejadian penutupan tadika ini bukan baru kerana ia pernah berlaku di Terengganu ketika PAS memerintah dan kini juga berlaku di Perak yang memberi gambaran bahawa parti-parti politik berkenaan bertindak mengikut perasaan.
Ini tidak sihat untuk Malaysia yang mahu menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Jika pemimpin sebegini dibenarkan bergiat cergas dalam politik, maka ia pasti tidak sihat dalam perjalanan politik kerana dendam akan menjadi salah satu pendekatan.
Politik berdendam ini sepatutnya dibuang jauh-jauh ke tengah lautan dan ahli politik perlu memikirkan pendekatan berpolitik secara sihat dan profesional.
Parti yang membentuk kerajaan perlu memikirkan perkara yang terbaik untuk rakyat manakala pembangkang pula perlu menegur segala kelemahan dan kekurangan kerajaan.
Parti politik perlu mengutamakan kepentingan negara dan mengetepikan fahaman politik sempit dan suka berdendam. Mereka perlu bersatu dalam perkara yang perlu diperjuangkan bersama seperti menentang kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin.
Kemahuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, agar rakyat negara ini selalu memikirkan ‘Satu Malaysia’ perlu disokong oleh semua pemimpin politik tidak kira kaum dan latarbelakang.
Ini penting untuk memastikan negara terus kukuh dengan sokongan padu rakyat berbilang kaum di negara ini. Jika segala tindakan rakyat berdasarkan ‘Satu Malaysia’ maka mereka sudah pasti akan mengutamakan negara melebihi perkara lain.
Pemimpin boleh memperjuangkan kepentingan kaum mereka tetapi sebarang perjuangan itu perlu berlandaskan ketetapan yang sudah diambil terutama ketika mewujudkan Perlembagaan termasuk dari segi kepentingan bangsa Melayu.
Sudah tentulah kaum bukan Melayu tidak gemar mendengar perkataan “Ketuanan Melayu” tetapi mereka perlu akur dan menghayati semangat itu demi memastikan sebarang tuntutan tidak terkeluar daripada apa yang sudah dipersetujui.
Konsep itu juga perlu difahami bahawa Raja-raja Melayu adalah tuan bukannya bangsa Melayu lain. Oleh itu, semua rakyat di negara ini perlu taat kepada Raja-raja Melayu kerana merekalah yang memiliki Tanah Melayu sebelum ini.
Generasi muda perlu memahami dan menghayati perkara ini sebelum membuat sebarang dakwaan termasuk suka menggunakan perkataan “tidak adil” atau “tidak sama rata”.
Dalam satu majlis di Kuala Lumpur awal tahun ini, DS Najib pernah menyebut generasi muda perlu bersedia menghadapi cabaran pertarungan minda dan perubahan persekitaran yang begitu pantas bagi memastikan kemerdekaan negara dapat terus dikekalkan.
Beliau mengingatkan mereka agar tidak mengambil ringan perkara itu kerana segala pencapaian negara akan lenyap dalam sekelip mata akibat pelbagai ancaman seperti kegawatan politik, ekonomi dan sosial yang boleh tercetus dengan mudah.
Rakyat tidak boleh leka dengan perkara-perkara yang kurang membawa manfaat, sedangkan dunia kian berubah dan perlumbaan untuk menempa kejayaan berterusan dalam semua lapangan berlangsung tanpa henti.
“Pada fikiran saya, ancaman kepada kemerdekaan pada masa ini terdapat dalam pelbagai bentuk. Apabila sesebuah negara itu lemah dari segi tidak mampu meletakkan pandangannya di hadapan, itu bukan kemerdekaan yang sebenar.
“Apabila sesebuah negara itu tidak mampu merencanakan hala tujunya disebabkan tekanan daripada pihak lain dan apabila rakyat dipaksa untuk menerima idea orang lain, itu bermakna kemerdekaan negara itu telah benar-benar terhakis,” katanya.
Tuesday, February 3, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment