Tuesday, February 10, 2009

HORMATILAH RAJA MELAYU DAN UNDANG2

Oleh Ibrahim Yahaya
(Sinar Harian / Belang Bertempat / 11/2/2009)


Apa yang berlaku di Perak sekarang bukanlah satu perkara yang luarbiasa. Ia hanya peralihan kerajaan negeri yang dibenarkan mengikut Undang-undang Tubuh Perak. Ia bukan satu yang pelik dan jelik. Yang benar dan dibenarkan.

Pengamal undang-undang berpendapat pelantikan Adun Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir adalah sah dan mengikut undang-undang.

Pakar perundangan, Profesor Salleh Buang memberitahu media tempatan, Sultan Perak boleh mengambil apa saja inisiatif bagi melantik Menteri Besar baru, meminta MB meletak jawatan mahupun memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, keputusan Sultan Perak itu tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak.

“Sultan Perak ada kuasa untuk setuju atau tidak setuju. Itu pilihan baginda. Baginda sudah melihat bahawa majoriti ada pada kerajaan BN jadi diperkenankan pembentukan kerajaan itu. Tindakan itu sememangnya berdasarkan kepada kuasa yang baginda miliki dan tidak perlu dibawa untuk ditentukan ke Dewan,” katanya.

Profesor Salleh berkata pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar baru dan titah Sultan Perak supaya Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin meletak jawatan adalah sah.

Namun, ada pula sesetengah pihak yang cuba mempolitikkan perkara itu. Mereka menggunakan isu ini untuk mempengaruhi pengikut mereka yang taksub untuk menentang semua pihak termasuk pihak keselamatan. Kejadian di Kuala Kangsar pada 6 Februari lalu menyaksikan bagaimana orang ramai dipergunakan demi kepentingan politik. Ada yang sanggup membahayakan diri mereka untuk kepentingan ketua.

Banyak pihak khuatir tindakan mempolitikkan kemelut politik di Perak terutama mengheret Sultan Perak akan mendatangkan malapetaka kepada negara ini. Minta dijauhkan. Minta ditolak mereka yang mengamal sistem politik sempit ini.

Bagi veteran UMNO, Datuk Seri Dr Rais Yatim, perkembangan di Perak yang antara lain cuba mengheret Sultan Perak ke Mahkamah susulan perlantikan Menteri Besar (MB) baru, mengandungi ramuan yang boleh membawa kepada keadaan kelam-kabut.

Menurutnya, jika tindakan tegas tidak diambil ia juga mungkin boleh menimbulkan huru-hara politik, sesuatu yang jauh daripada diperlukan pada saat-saat negara menghadapi kesan kemelesetan ekonomi dunia.

Dr Rais berpendapat dengan peruntukan Artikel 16(2) bersekali dengan klausa (4) Perlembagaan Negeri Perak jelaslah bahawa apabila Sultan telah melantik Dr Zambry melalui proses pengetepian peruntukan-peruntukan selainnya di bawah Perlembagaan negeri itu – sesuatu yang dibenarkan oleh undang-undang tubuh negeri itu. Ini bermakna baginda telah menjalankan tugas dan fungsi perundangan.

Penulis melihat pembangkang mahu DUN dibubarkan. Jika tidak dibubarkan, maka perlu di bawah ke undian di DUN. Perlu ke? Jangan cuba mengelirukan orang ramai dan mengajak rakyat yang tidak memahami isu ini untuk berdemonstrasi secara haram. Jangan bawa orang asing seperti rakyat Indonesia untuk mengerohkan keamanan negara.

Bagi Dr Rais, mengadakan undian di Dewan Undangan Negeri bukanlah satu-satunya cara untuk menentukan sokongan atau sebaliknya terhadap sesorang MB. Sultan Perak khususnya boleh membuat kaedahnya sendiri sejajar dengan Artikel 16 (4) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Menurut beliau, kes-kes terdahulu yang boleh dijadikan perbandingan termasuk kes Stephen Klaong Ningkan (1966) dan kes pertikaian Ketua Menteri di Sabah khususnya pada tahun 1994 dan perihal seorang pembesar di Nigeria melalui kes Adigbenro Akintola.

Dr Rais berkata, memang ramai yang menganggap bahawa kaedah melucutkan jawatan seseorang ketua kerajaan ialah melalui konvensyen undian di lantai dewan legislative. Tetapi harus ditegaskan, katanya, kes-kes itu adalah nas-nas perundangan case law yang tidak terbit daripada peruntukan perlembagaan yang jelas atau khusus seperti di Perak.

Ia tidak sama dengan kuasa yang ada pada Sultan Perak di bawah Perkara 16 (4) Perlembagaan Negeri yang bermaksud: Dalam perkara melantik seseorang Menteri Besar, Duli Yang Maha Mulia Sultan bolehlah mengikut budi bicara baginda mengecualikan atau tidak memakai mana-mana peruntukan Perlembagaan ini (Perlembagaan Negeri Perak) berkaitan mana-mana had kuasa (restrictions) berhubung dengan pelantikan Menteri Besar, jika pada pendapat baginda tindakan sedemikian perlu untuk menyempurnakan kehendak peruntukan-peruntukan Perkara (16) ini.

Dalam akhir tulisannya di sebuah akhbar media perdana, Menteri Luar itu meminta agar Peguam Negara meneliti segala maki hamun dan hasutan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak setakat ini terhadap Paduka Seri Sultan Perak, khususnya penulis blog serta media cetak yang tampaknya beranggapan semacam negar aini sudah tidak ada undang-undang lagi.

Dalam pada itu, penulis berpendapat semua pihak perlu yakin dengan kebolehan Polis Diraja Malaysia untuk menjaga keselamatan negara. Biarlah pihak polis menjaga keselamatan negara dan tidak payahlah parti politik mahu bertindak bersendirian kerana ia tidak elok, tidak wajar dan menyalahi undang-undang.

Isnin lalu, Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Padzi Paharuddin berharap polis dapat menghalang bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohamamd Nizar Jamaluddin dan bekas Exco daripada memasuki bangunan pentadbiran kerajaan negeri keesokan harinya.

Menurutnya, jika bekas Menteri Besar dan Exconya berjaya meloloskan diri, Pemuda UMNO akan mengambil tindakan yang perlu untuk menghalau mereka keluar dari Bangunan Perak Darul Ridzuan. Tindakan sendiri? Tidak perlu dan tidak boleh mengambil undang-undang di tangan sendiri. Sedarlah.

"Polis telah memberi jaminan akan menghalang mereka daripada memasuki bangunan kerajaan negeri dan sebab itu Pemuda UMNO Perak cuma akan memerhatikan sahaja.

"Bagaimanapun, jika Mohammad Nizar dan Exconya membawa penyokong untuk menggunakan kekerasan sehingga gagal dihalang oleh polis, Pemuda UMNO akan bertindak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Mempertahankan Sultan Perak di Padang Sultan Abdul Jalil di Ipoh..

Zainol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik berkata, pihaknya akan mengadakan siri jelajah untuk memberi penjelasan kepada rakyat Perak berhubung peralihan kuasa di negeri ini.

Katanya, ia bagi menepis tohmahan dan fitnah daripada pembangkang yang cuba meracuni fikiran rakyat kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri secara tidak sah.

"Kita sudah pun bermesyuarat berhubung perkara ini dan kita akan panggil pakar-pakar perundangan untuk memberi penjelasan," katanya.

Kesimpulannya, orang ramai terutama penduduk Perak perlu bertenang tanpa mengikut perasaan mereka sehinggakan menimbulkan keadaan huru-hara. Jalanilah kehidupan seperti biasa terutama dalam menghadapi kemelut ekonomi dunia yang mendatang.

Masyarakat perlu memahami apa yang berlaku di negeri itu dan tidak terikut-ikut dengan mainan politik sesetengah pemimpin yang mahu menjadi pemimpin dengan menghalalkan cara mereka termasuk yang haram. Tolaklah pemimpin seperti ini.

No comments: