Sunday, April 19, 2009

MEMBINA NEGARA BANGSA

Penyusunan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang diumumkan baru-baru ini memperlihatkan rangkuman bidang tugas yang lengkap dan bersepadu. Kementerian ini merangkumi tiga bidang yang terpisah sebelum ini.

Menterinya Datuk Seri Dr. Rais Yatim menganggap bidang penyiaran dan komunikasi menuntut pengisian daripada segi nilai kebudayaan negara ini. Maka dengan rangkuman bidang dalam kementerian ini beliau mengharapkan kementerian tersebut mempunyai keupayaan yang lebih tinggi ke arah membina negara bangsa.

Pada masa yang sama bidang penyiaran dan komunikasi juga terdedah dengan cabaran besar dengan dasar langit terbuka yang mendekatkan rakyat dengan budaya yang dibawa dari luar. Dalam soal ini Rais menaruh keyakinan menerusi peruntukkan undang-undang yang ada, kementeriannya dapat memastikan komunikasi dan penyiaran tidak disalahgunakan untuk tujuan yang tidak sepatutnya.

“Kita harus bijak menggunakan kuasa di bawah undang-undang untuk menjana kesan dan hasil yang hendak kita capai,” demikian tegas Rais ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan Hafizahril Hamid di pejabatnya di Angkasapuri Selasa lalu.

MINGGUAN: Apa perasaan Datuk Seri apabila kembali kepada dua kementerian iaitu Penerangan dan Kebudayaan yang pernah diterajui sebelum ini?
RAIS: Saya anggap ini sebagai satu pengiktirafan dan penghormatan kepada satu-satunya landasan perkhidmatan bagi saya. Jadi saya bernasib baik bukan saja kali kedua dalam Kementerian Penerangan dan Kebudayaan malah ketika di Kementerian Luar juga saya berkhidmat buat kali kedua. Tapi ke Kementerian Kebudayaan merupakan kali ketiga iaitu kali pertama ketika bersama mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 1974. Penghormatan dan pengiktirafan ini saya junjung tinggi demi semangat membina negara bangsa. Saya akan cuba sedaya upaya menggunakan pengalaman untuk menjayakan apa jua dasar kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak khususnya tentang Satu Malaysia yang telah beliau umumkan.

Secara peribadi saya menganggap Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sebagai satu adunan yang cukup lengkap. Apa pula pandangan Datuk Seri?
RAIS: Saya setuju, sebenarnya Kementerian Penerangan sahaja tidak lengkap. Ini kerana dalam hal pengisian kebudayaan yakni cara hidup seni dan warisan jika tidak disekalikan sukar untuk menjadikannya popular atau diterima sebagai ruang asuhan hidup kita. Jadi dengan meletakkan kebudayaan di bawah Kementerian Penerangan sekali gus ia memudahkan kerja kita untuk menjana program dan mewujudkan nilai-nilai yang positif untuk membina negara bangsa.

Begitu juga dengan aspek komunikasi. Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia membantu secara perundangan dan kuasa-kuasa yang ada padanya boleh menggerakkan semua program melalui saluran-saluran televisyen dan radio yakni saluran media elektronik kepada negara dan rakyat keseluruhannya.

Bagaimana dengan pertembungan dasar langit terbuka? Adakah ini bermakna kita akan lebih terbuka dalam soal komunikasi dan penyiaran kita?
RAIS: Akta yang ada itu memberi pelbagai jurusan tugas, fungsi dan kuasa. Oleh itu kita harus bijak menggunakan kuasa di bawah undang-undang itu untuk menjana kesan dan hasil yang hendak kita capai. Langit terbuka ini bermula dengan Astro, dan nampaknya Astro telah berkembang dengan begitu hebat sekali sehingga menjadi satu syarikat gergasi yang kuat sehingga kerajaan kelihatan seolah-olah segan dengannya. Ini tidak seharusnya berlaku. Oleh itu bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung di Malaysia, Astro harus bekerjasama dengan kerajaan oleh kerana undang-undangnya adalah di bawah komunikasi.

Kerana itu kerajaan ingin mewujudkan kerjasama yang intim antara syarikat-syarikat yang berangkasa luas dengan kementerian ini supaya dalam bab yang berkaitan dengan pembinaan negara bangsa dapat mereka bantu. Bagaimanapun saya harus tegaskan juga bahawa kita tidak perlu keterlaluan memaksa mereka untuk membawa program-

program yang disajikan oleh kerajaan.

Memadai bagi mereka mewujudkan program mereka sendiri tetapi membantu kerajaan dalam mencapai matlamat Satu Malaysia. Satu perkara lagi ialah bagi syarikat-syarikat televisyen dan radio membawa segmen-segmen pembangunan Malaysia melalui dokumentari-dokumentari pendek yang boleh membuka vista pemandangan rakyat Malaysia apabila menonton saluran-saluran tersebut dan juga ketika mendengar melalui radio.

Pada hari ini berpuluh-puluh stesen radio tidak kurang 50 misalnya, jarang sekali segmen membina masyarakat itu didengar menerusi saluran mereka. Kebanyakan pengisiannya adalah hiburan, muzik dan celoteh yang langsung tidak mengindahkan apa yang kita perjuangkan dalam pembinaan negara bangsa. Cita-cita pembinaan negara bangsa ini penting dan adalah diharapkan mendapat kerjasama dari syarikat-syarikat penyiaran swasta.

No comments: